Thursday 1 October 2009

Pergimu Tiada Pengganti


Kullu nafsin zaiqatul maut – setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Begitu manusia. Stiap manusia akan merasai mati. Bagaimana, bila dan di mana kematian berlaku hanya Allah yang Maha Mengetahui. Lumrah kehidupan ini tidak dapat tidak akan dilalui oleh setiap manusia biar sekuat mana dirinya mahupun seusaha mana dirinya mengelak dari kematian. Kita lihat sejarah telah membuktikan. Kekuatan dan usaha  Raja Namrud di zaman Nabi Ibarahim AS dari serangan diberikan Allah ditamatkan dengan mudah oleh seekor nyamuk yang menjadi sebab kepada kematiannya.

Apakah hikmah kematian kepada mereka yang masih hidup? Allah berfirman : “iza asobatkum musibah; qalu innalillahi wainna ilairaji’un” – apabila kamu ditimpa musibah / perkara yang buruk; katakanlah ‘innalillahiwainna ilairaji’un’. Ayat ini menjadi amalan kita apabila berlaku kematian. Tetapi, ayat ini juga digunakan untuk apa sahaja musibah yang menimpa. Dengan kematian seseorang, Allah mengingatkan sesungguhnya kematian kita juga akan tiba. Justeru, kita perlu bersedia. “addunia mazra’atul akhirah” – dunia itu ladang kepada akhirat. Di dunia inilah kita harus berladang, memperbanyakkan usaha amalan agar hasil tuaian dapat dibawa ke akhirat untuk dipersembahkan kepadaNya. Menjadi bukti bahawa kita makhluk yang bersyukur. Dengan nikmat iman & Islam yang diberikan, kita membalasnya dengan amalan-amalan walaupun kita tahu amalan-amalan itu tidak memadai dengan nikmat iman & Islam yang diberikan Allah.

Kita baru sahaja melepasi Ramadhan, masa yang terbaik untuk berladang. Dan kini kita menempuh waktu kejayaan yakni  Syawal. Belum tentu kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Belum tentu juga kita akan bertemu dengan musim berladang yang terbaik lagi. Lihat sahaja Ops Sikap baru-baru ini mencatatkan 261 kematian. Khuatir diri ini tidak lagi bertemu Ramadhan. Apatah lagi bila mengenangkan amalan yang tersangat sedikit di bulan Ramadhan. Pada raya ke-6 (26 September 2009), saya dikejutkan dengan catatan sahabat di sekolah dahulu. Catatan yang mudah, memberi kesan yang mengejutkan.  “bye-bye late Zakwan’. Pada mulanya, saya menyangka hanyalah satu canda antara sahabat. Namun, pada jam 8.00 malam, satu SMS diterima daripada sahabat baik di Sekolah Izzuddin Shah; “Salam.. sedekah al-fatihah pd kawan kite.. Zakwan yg kmbli ke rahmatullah pagi tadi”. Sangkaan canda tadi rupanya meleset. Apatah lagi keesokannya menerima link Utusan Malaysia Online yang menceritakan perihal yang sama.


Akibat memandu ketika mengantuk

KUALA KUBU BHARU 26 Sept. - Seorang pemuda maut manakala teman wanitanya, parah apabila kereta Proton Wira mereka terperosok di bawah treler membawa muatan udang di Kilometer 39.3 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kuala Kubu Bharu menghala ke utara, di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Zakwan Zainon Kamar, 20, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di muka dan dada manakala Risnah Maulat Abdul Ghani, 19, menerima rawatan di Hospital Slim River.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Hussin Omar berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dalam keadaan mengantuk ketika memandu menyebabkan keretanya itu tiba-tiba memasuki laluan lain.
Beliau memberitahu, berikutan itu, kenderaan mangsa melanggar sebuah treler di laluan sebelah lalu terperosok di bawah kenderaan tersebut dan diseret sejauh kira-kira 150 meter.
"Pemandu treler itu pula terpaksa mengheret kereta mangsa kerana dikhuatiri akan dirempuh kenderaan-kenderaan lain sekiranya berhenti mengejut," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Che Hussin berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam kereta remuk tersebut.
Kedua-dua mangsa, kata beliau, dipercayai baru pulang berhari raya kerana baju kurung dan baju Melayu masih tersimpan dalam kenderaan mereka.
Mayat mangsa yang berasal dari Ipoh itu di hantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat, Ibu Pejabat Trafik Hulu Selangor (Kuala Kubu Bharu), Cif Inspektor Mas Zaliza Ibrahim di talian 03-60641222.


Terkesima sebantar apabila membaca berita ini. Manakan tidak, sahabat seperjuangan di SIS kini telah tiada. Apatah lagi allahyarham merupakan teman sekatil (katil double decker ye..) dan teman sekelas ketika di SIS. Terlalu banyak kenangan bersama biarpun kami bukanlah sahabat yang akrab. Terkenang bila mana disebut nama Zakwan, pasti teringat akan Hazrikh & Farizal. Bagai satu kejutan apabila melihat mereka duduk di barisan hadapan di dalam kelas; yang mana semestinya tempat tersebut biasanya diisi oleh pelajar-pelajar skema.  Allahyarhan sangat aktif dalam kegiatan kokurikulum hinggakan banyak mewakili negeri dalam pelbagai acara sukan. Gaya selambanya kekal dalam ingatan. Teringat tentang adik angkatnya di sekolah. Bagaimana sahabat-sahabat yang lain turut membantu dalam masa yang sama mempersoalkan pilihannya (jangan gelak… bese rr sekolah menengah kan). Terkilan di hati apabila teringatkan saya tidak lagi berjumpa beliau sejak menamatkan persekolahan lalu. Masakan tidak. Hasrat di hati mungkin akan bertemu apabila masing-masing telah mencipta nama dalam karier yang diimpikan. Namun, ianya terkubur. Berakhir hanya dipertengahan pengajian. Belum sempat menjenguk alam pekerjaan.

Namun, pasti tekanan lebih berat kepada keluarga Allahyarham. Apatah lagi Allahyarham merupakan anak sulung dalam keluarga. Ayahnya juga sudar lama memasuki usia emas. Perjuangan untuk keluarga belum selesai. Pasti adik-adiknya juga menghadapi dugaan yang sangat berat. Pada mana meraikan kemengan Syawal, datang pula berita pemergian abang tercinta. Bukannya sesuatu yang dijangka bahkan sangat mengejutkan.

Al-fatihah untuk Allahyarham Mohd Zakwan bin Zainon Kamar

No comments: